Tuesday, January 4, 2011

SEJARAH BANGSA MELAYU

Dunia Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah, sekali emak meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan nilai telah berlaku.

Lonjakan nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh tok lebai atau oleh sasterawan negara atau cikgu sekolah. Nilai ini bukan datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggungjawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.
Struktur ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United Malays National Organisation. Selama hampir 30 dahulu, Mahathir Mohamad melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memasukkan satu nilai dan budaya baru dalam roh manusia Melayu.
Tiga puluh tahun sebelum hari ini, manusia Melayu adalah manusia pertanian. Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian. Justeru, nilai yang dilahirkan oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai mesra masyarakat pertanian.
Apabila DEB diperkenalkan, dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun 70-an, manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan kota. Dari kampung yang permai, manusia Melayu telah mula memasuki pekan dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.
Perubahan yang dibawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan, bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru, roh manusia Melayu ini pada tahun-tahun 90-an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu peniagaan.
Sistem ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation, sistem kapitalis ini telah diubahsuai. Sistem kapitalisme ini tidak lagi menjadi satu perniagaan bebas, tetapi kapitalisme kroni. Kapitalisme jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga untuk menerima dana dan kontrek dari kerjaaan. Kapitalisma kroni inilah yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada manusia Melayu.
Asas nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National Organisation ialah mengumpul pangkat, darjat, harta dan kekayaan. Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.
Mementingkan kontrak dan tender
Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.
Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.
Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.
Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).
Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes 'rogol bawah umur' ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.
Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.
Ketika tulisan ini ditulis, satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak dibincangkan dalam laman sesawang. Telah diperkatakan bahawa seorang menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu dikatakan terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.
Sama ada kes ini sahih atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana manusia Melayu baru ini telah menjadi lali. Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama dua tahun.
Nilai salah dan benar
Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.
Mari kita lihat satu lagi kes klasik yang telah membuktikan lonjakan perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik kepada Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan ini.
Malah dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi, perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih model yang terbunuh. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Persoalan yang timbul di sini, bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi arahan agar model ini dbunuh. Bukan ini yang ingin dibincangkan. Apa yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.
Ketulian dan kelalian perasaan tiga juta ahli parti United Malays National Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh melihat melihat kontrak dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.
Jalur nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan 'juruagama' United Malays National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib Razak ini suci dan bersih, maka tiga juta manusia Melayu ini juga akan mengangguk menerima perkara ini umpama wahyu.
Nilai baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak menjadikan mereka merasa kebal.
Anjakan nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan. Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram. Akhirnya, tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua mereka.
Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.

Friday, July 24, 2009

REHLAH TARBAWI PEMUDA PUSAT

1. Rehlah adalah sebahagian dari ekspidisi yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik . Apatah lagi ianya diatur dan disusun oleh insan yang berjuang , mencari ruang dan medan mendekati diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta .
2. Rehlah seperti ini biasanya disebut Rehlah Tarbawi . Selain menyatu diri dengan keindahan alam semesta , meredakan ketegangan saraf yang hampir kejang setelah bergelut di medan guna mempertahankan Islam dan usaha mendaulatkannya , rehlah ini juga menenangkan minda dan mendamaikan jiwa .
3. Lebih bermakna apabila rehlah disertai oleh rakan seperjuangan . Saling memahami malah saling melengkapi . Perkara benar disokong dan dibantu sementara perkara salah , tanpa silu diperbetul dan dipandu . Indah ! sungguh indah dunia ini andai semuanya adalah sahabat seperjuangan kita .
4. Tapi realitinya tidaklah sebagaimana apa yang saya sebutkan tadi . Ada sahabat yang bersedia menjadi sahabat kita tanpa mengira suka atau dukanya . Saat perlu ia hadhir , saat buntu ia mampir . Susah kita resah dia , sakit kita letih dia , sukar kita payah dia , senang kita tenang dia , bahagia kita gembira dia . Demikianlah indahnya bersahabat .
5. Namun ada kalanya kita berdepan dengan musuh. Sering mencari salah dan silap kita justeru itulah pelurunya untuk menembusi jantung hati kita . Bukanlah sukar mereka mahu memahami kita tetapi sengaja buat - buat tidak faham lalu bertindak melulu dan mempertikai apa jua yang lahir dari kita . Tidak tergaris wajah sayang dan kasih sebaliknya apa yang terhambur ialah kebencian dan dendam kesumat .
6. Lebih malang , kita bertemu kawan atau sahabat pada nilai pertamanya tetapi pantang mendapat kesempatan , segala kepercayaan diragut dan segala kesetiaan dinodai tanpa rasa simpati biarpun sekelumit . Dia boleh tipu kita tanpa berkerut kening . Dia tergamak menikam kita walau dari arah belakang .

7. Sahabat saya kata , orang macam ni tak ubah seperti umang - umang . Mulanya kelihatan seperti berkawan dengan kerang atau spesis siput kemudiannya rumah [ cengkerang ] siput atau kerang itu akan diambil setelah ianya dibunuh . Wallahua'alam bis sowab .
8. Saya tidak pernah melihat umang - umang merampas rumah siput atau kerang tetapi yang saya pasti cengkerang umang - umang itu saling tidak tumpah milik spesis siput atau kerang .
9. Harapnya tiadalah sahabat - sahabat ku menjadi umang - umang atau tidaklah pula aku menjadi umang - umang kepada sahabat - sahabat ku . Rehlah tarbawi mengajar erti pengukuhan dalam bersahabat biar pun tiada modul khusus yang lakukan . hanya melalui rehlah dan mukhayyam , persahabatan kian erat dan ukhuwwah kian bersemadi . Apa lagi jika rehlah itu lengkap dengan agenda tarbawi yang baik dan dibimbing pula oleh sang murabbi yang hebat dan berkat .
10. Rehlah tarbawi sangatlah baik dilakukan di semua peringkat pemuda . Sesekali kita keluar dari ruang pejabat kita , jauh ke tengah pulau yang tiada line telefon untuk dihambat oleh wartawan , tiada pula boat yang menanti untuk beralasan lari meninggalkan tapak rehlah . Kita sesama kita , hadapi segala pancaroba dan tempuhi bersama suka duka biarpun 2 atau 3 hari namun ia satu simbolik untuk kekal persahabatan kita tanpa khianat bagi tempoh rehlah kedua menyusul pula akan datang .
Sungguh Indah hari - hari yang dilalui dengan ketenangan . Kemudiannya ianya menjadi modal dan energy baru untuk turun semula ke medan berdepan dengan musuh - musuh Islam , lalu menjulang panji perjuangan .

Monday, March 30, 2009

Penamaan Calon Parlimen Bukit Gantang: Jangan Alpa Dengan Sokongan - KP Ampang

Beberapa petugas di UPU Padang Gajah setelah selesai menaikkan kain rentang bilik gerakan

Trong, 29 Mac 2009 / 2 Rabi'ul Akhir 1430H - Ribuan penyokong Pakatan Rakyat (PR) mengiringi calon PAS Parlimen Bukit Gantang Dato' Seri Ir. Nizar Jamalauddin. Menurut rakan-rakan yang telah berada di sana tempat penamaan calon dari awal pagi lagi, penyokong PR memang ramai, berganda jika dibandingkan dengan penyokong Barisan Nasional (BN) ketika mengiringi calon masing-masing di tempat berkenaan. Suatu petanda awal yang agak menyenangkan. Itulah antara bualan petugas-petugas PAS termasuk dari Ampang yang ditugaskan di Unit Peti Undi (UPU) Padang Gajah.

Selasai sesi penamaan calon, kami antara yang terkemudian sampai mula bergerak mencari UPU Padang Gajah, Trong dalam keadaan panas terik dan lalu lintas yang amat sesak. Akhirnya dengan bantuan telefon beberapa teman warga tempatan kami berjaya sampai ke tempat yang dituju. Alhamdulillah, UPU tempat kami bertugas tak jauh dari Masjid Padang Gajah. Sempat juga melepaskan lelah dan apa-apa yang patut dilepaskan di masjid berkenaan setelah selesai solat, yang kemudiannya disertai oleh beberapa sahabat-sahabat rombongan dari Ampang termasuk YB Khasim, P.A beliau saudara Bazli, Hj Ali Ismail, Hj Mat Jusoh, Saudara Rasimi, Ustaz Amir, Encik Mazelan Ahmad dan ramai lagi.

Sampai sahaja di UPU Padang Gajah, perkara pertama yang kami lakukan ialah menaikkan kain rentang Bilik Gerakan dan beberapa kain rentang kempen yang kami bawa sendiri dari Ampang. Kerja kami agak mudah kerana dibantu oleh petugas-petugas dari Gombak dan Kelab Penyokong PAS dari kalangan India dan Cina tempatan. Itulah kelebihan 'kerjasama', yang berat jadi ringan, yang susah jadi mudah.

Namun dalam kita menikmati sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat, Ketua Pemuda PAS Ampang, Ustaz Fazlulrahimi Maarop mengingatkan agar kita tidak alpa dengan sokongan yang diraih terutama ketika penamaan calon pagi tadi. Paling penting usaha dan strategi kempen mesti mengikut apa yang telah ditetapkan oleh pimpinan. Ini kerana sebahagian di kalangan penyokong yang meramaikan gerombolan yang mengiringi calon ketika penamaan adalah datang dari luar kawasan Bukit Gantang. Justeru, gerak kerja kempen dan munajat kepada Allah mesti diperhebatkan. Semoga Allah memakbulkan segala doa kita, amiin. ~ AQ

Sebahagian Gambar-Gambar Aktiviti di Bukit Gantang






























































































Wednesday, January 21, 2009

UMNO SUDAH HABIS GAS - Hrkh

Umno hilang daya tarikan - demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tajuk berita Utusan Malaysia 20 Januari yang melaporkan dari Manama, Bahrain.

Umno perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata, langkah tersebut perlu kerana Umno kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.
"Kita perlu ada 'wow factor' (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali."
Demikianlah komen Muhyiddin mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu.
Pertandingan tiga penjuru melibatkan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi, menang dengan majoriti 2,631 undi; Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Sebenarnya apa yang berlaku ialah perjuangan Umno sudah tidak relevan dengan tuntutan semasa. Umno dalam kempennya masih lagi dengan modal lama iaitu pembangunan. Kempen ini sesuai pada zaman Raja Bersiong bukan zaman langit terbuka. Nada kempen "kalau undi BN dapat pembangunan, kalau undi pembangkang negeri akan mundur," sudah basi.
Kempen seperti ini sudah tidak sesuai bagi sebuah negara yang hendak hendak masuk 52 tahun merdeka. Sekarang pengundi sudah matang. Mereka sudah memahami bahawa siapa sahaja yang memerintah dia akan membuat pembangunan.
Kalau tidak ada Umno-BN, pembangunan tetap dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang dipegang oleh manusia. Kerana fitrah manusia yang Allah beri kepada mereka otak yang sentiasa mencari dan mencuba untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka.
Sebab itu manusia disebut sebagai 'haiwan madaniyun' iaitu makhluk yang berkembang. Justeru Allah amanah kepada manusia untuk mentadbir muka bumi ini sebagai khalifah.
Allah tidak wariskan kepada binatang yang otaknya tidak berkembang. Sebab itu lembu daripada zaman purbakala makan rumput hinggalah tahun 2020. Lembu tetap makan rumput jangan kita andaikan lembu apabila dunia sudah maju dia akan makan burger.
Generasi muda yang menjadi pengundi pada hari ini mereka yang celik maklumat. Mereka tidak akan mudah diperbodohkan oleh pemimpin Umno-BN dengan gula-gula pembangunan dan ugutan.
Mereka tahu membezakan antara intan dan kaca. Mereka hendak pembangunan yang dilaksanakan biarlah manfaat untuk semua rakyat jelata. Bukan pembangunan yang hanya dinikmati oleh juak-juak pemimpin Umno. Contohnya apa yang rakyat dapat daripada program Piala Monsun yang menelan belanja tidak kurang RM250 juta setiap tahun.
Mereka mempersoalkan berapa banyak rumah nelayan yang terdapat di sekitar Pulau Duyung boleh dibina dengan wang sebannyak itu. Rakyat dapat hampas, kroni dapat isi dan kuah. Generasi baru tidak rela melihat pembangunan yang hanya dinikmati oleh segelintir anak beranak pemimpin Umno-BN sahaja, sedangkan ia tidak melimpah kepada rakyat.
Mereka marah kenapa rakyat Terengganu termiskin nombor dua di Malaysia selepas Sabah. Sedangkan Terengganu ada hasil minyak. Kenapa masih ramai lagi rumah yang tidak layak berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang dipenghuni oleh setinggan yang tidak sesuai wujud di negeri Kuwait Malaysia. Mereka bertanya ke mana wang royalti minyak dibelanjakan.
Generasi muda pada hari ini adalah orang yang antirasuah. Mereka tahu bahana rasuah apabila menimpa dalam sebuah negara. Sikap ini tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Umno-BN malahan indeks rasuah semakin meningkat bukan semakin baik. Akibat rasuah nilai projek sepatut boleh buat dua jambatan di kampung mereka tetapi hanya boleh membina satu jambatan sahaja. Sebab itu Umno boleh tipu orang pada sesetengah masa tetapi ia tidak boleh menipu orang dalam semua masa.
Naib Presiden Umno, Mohd Ali Rustam dalam nada menyindir berkata, BN juga perlu menjadi seperti PAS yang suka menabur janji-janji kosong setiap kali pilihan raya kecil diadakan asalkan mengundi parti itu boleh masuk syurga.
"Saya hairan, mengapa mereka percaya pada PAS yang tidak buat apa-apa kerja tapi menjanjikan syurga dan menolak BN yang banyak membuat pembangunan di sana," katanya. (Utusan Malaysia 19/1/2009)
PAS hendak tanya bila ia janjikan syurga kepada para pengundi? Saya hendak cadangkan supaya Ali Rustam cadangkan kepada penceramah Umno supaya janji siapa yang undi Umno-BN dapat syurga. PAS sikit tidak marah. Biarlah masyarakat menilai bahawa undi BN dapat syurga.
Sebenarnya apa yang berlaku hendak menunjukkan bahawa memang Umno sudah tidak lagi boleh hidup lama dan Umno sudah tua seperti yang disebut oleh Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri. Umno kena tinggal ideologi lapuk mereka yang tidak mempunyai hala tuju. Ideologi sekular yang Umno pejuangkan akan menemui ajal dan tidak sesuai dengan fitrah manusia.
Semua ideologi manusia tersungkur di muka bumi ini. Dasar pragmatism (berubah-berubah) ikut suasana sudah tidak sesuai pada era ini. Rakyat benci dengan sikap bermuka-muka dan menjadi bahan ketawa dan mainan orang sahaja. Kalau ideologi komunis boleh tersungkur dalam masa 70 tahun oleh pengikutnya sendiri, maka Umno juga akan roboh melalui pengikutnya juga yang tidak tahu apa yang mereka pejuangkan selama ini.
Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menanamkan rasa takut ke dalam hati mereka, sehingga mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangannya sendiri dan dengan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan." - al-Hasyr, 59:2
Umno hanya boleh bertahan kerana ia ada kuasa dan jentera kerajaan. Sebab itu kita boleh melihat yang menggerakkan jentera pilihan raya Umno di Kuala Terengganu ialah agensi kerajaan. Kalau hendak harapkan jentera parti ia tidak akan bermaya.
Umno perlu ingat jentera kerajaan mereka bekerja ikut waktu dan masa. Setiap tayar yang bergolek semuanya perlu disediakan wang. Berapa ramai pula pegawai kerajaan yang dikerah untuk membantu pilihan raya Kuala Terengganu adalah daripada kalangan mereka yang menyokong dan simpati dengan Pakatan Rakyat.
Sampai bila Umno boleh bertahan dengan sikap demikian rupa. Sekarang lima negeri Umno sudah tidak bermaya dan sudah lumpuh. Ada sesetengah tempat hendak buat mesyuarat Umno cawangan terpaksa buat di kedai kopi kerana tidak ada tempat.
Selama ini pejabat Umno ialah hak milik kerajaan. Sekarang apabila Umno kalah maka tidak ada tempat untuk bergantung lagi. Ini berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kita tegak di atas keringat dan usaha pengorbanan di kalangan ahlinya sendiri.
Umno bergerak dengan upah, bukan berasaskan hati yang suci. Sebab itu pada hari mengundi kita boleh lihat bagaimana bangsal panas Umno hanya meriah dalam beberapa jam sahaja selepas itu keadaan menjadi lengang, kerana bayaran setakat itu sahaja.
Dari segi moral mereka sudah kalah. Ia berbeza dnegan bangsal panas PAS sentiasa dipenuhi sampai tutup pintu pagar tempat mengundi. Sahlah Umno sudah habis gas dan tidak mampu lagi untuk menyalakan dapur perjuangan mereka dan menunggu hari untuk di talkinkan oleh ahlinya sendiri.-ss-